Rabi’ah binti Ismail
al-Adawiyah tergolong wanita
sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Beliau dilahirkan sekitar awal kurun
kedua Hijrah berhampiran Kota Basrah di Iraq. Beliau lahir dalam sebuah
keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada
Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai
Dijlah dengan menggunakan sampan.
Pada akhir kurun
pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah
yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan
semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu,
kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari, dan berhibur
semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup
waraq serta zuhud hampir lenyap sama sekali.
Namun begitu, Allah
telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah
tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf
Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki
dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani
mengatasi segala tuntutan hawa nafsu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai
hamba yang benar-benar taat.
Bapa Rabi’ah merupakan
hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak
pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi
muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan
Al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan
menghayati isi Al-Quran sehingga berjaya menghafal kandungan Al-Quran. Sejak
kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi
serta keimanan yang mendalam.
Menjelang
kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk
setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali
daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang
mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah
hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia
dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah
yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang
sepatutnya seorang hamba bergantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.
Marilah kita teliti
ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada
Allah:
“Ya
Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada
yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh
mendinding antara aku dengan Engkau!”
“Tuhanku!
bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik
telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.”
“Tuhanku!
Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser,
tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada
nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada
dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti
keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.”
“Sekalian
manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang
tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga
Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur
supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”
Rabi’ah juga pernah
meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
“Tuhanku!
Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada
keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan
kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang
sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan
yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan
takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”
Setiap malam
begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga
bermunajat dengan ungkapan seperti:
“Wahai
Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya
diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun
Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu,
jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di
atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu,
nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat
cinta kepada-Mu.”
Seperkara menarik
tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:
“Perkahwinan
itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada
mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah
perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”
Rabi’ah seolah-olah
tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu, dia terus-menerus mencintai
Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai
keredhaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan
perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain
kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.
Selama 30 tahun dia
terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:
“Ya
Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatu pun yang
dapat memalingkan aku daripada-Mu.”
Antara syairnya yang
masyhur berbunyi:
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Rabi’ah telah
membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan
kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa.
Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan
Allah seperti yang pernah diluahkannya:
“Wahai
Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan
lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah
kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh Syurga Allah
semata-mata.
“Jika
aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di
dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka
haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku
kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu
yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
Begitulah keadaan
kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta
kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika
usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredhainya, amin!
Sekarang mari kita
tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh
Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:
“Apakah
kamu mengira bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum nyata bagi Allah orang
yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”
Bagaimana perasaan
kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita
terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak
terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:
“Ya
Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang
berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”
Sesungguhnya apa juga
lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada
cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta
kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta
melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.
Lanjutan itu jiwa kita
tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam.
Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta
merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah
untuk maslahat* kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya
nikmat Allah kepada kita.
Dengan itu kita akan
sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini
kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti
diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita
juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.
* Maslahat: sesuatu yg
berfaedah (berguna), usaha yang mendatangkan faedah